Julai lalu Triumph telah memperkenalkan Tiger 900 Aragon Edition, yang dibuat sebagai sambutan kepada kemenangan Ivan Cervantes dalam perlumbaan Baja Aragon, dan disediakan dalam dua versi, iaitu GT dan Rally. Sekarang, salah satu daripadanya, iaitu versi GT sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM81,000.
Sebenarnya, tiada perubahan teknikal pada motosikal edisi istimewa ini, tetapi ia datang dengan grafik khas, di mana bagi Tiger 900 GT Aragon Edition, ia menggunakan gabungan warna Diablo Red, Matt Phantom Black dan Crystal White, berserta tempat duduk dua tona.
Kemudiannya, besi pelindung enjin diberikan standard pada model Aragon Edition, manakala suspensi terdiri daripada fork hadapan Marzocchi 45 mm dengan pelarasan RSU elektronik dan monoshock belakang Marzocchi dengan pelarasan lantunan dan pra beban elektronik.
Menggunakan asas daripada Tiger 900 GT Pro, kelengkapan lain adalah sama sahaja termasuk padanan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, brek Brembo Stylema empat piston di hadapan, tangki bahan api 20 liter serta panel meter TFT.
Memacu motosikal ini adalah enjin tiga silinder DOHC 888 cc bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 93.9 hp pada 8,750 rpm dan tork 87 Nm pada 7,250 rpm. Ia juga turut dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman, Cornering ABS, serta lima mod tunggangan.
GALERI: Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.
This Article First Appeared At paultan.org