Triumph mengembangkan lagi penawaran motosikal kelas permulaan mereka dengan pengenalan Thruxton 400, yang kini sudah dilancarkan di pasaran India. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, model ini membawa penggayaan cafe racer, tetapi kali ini dengan penggerak yang lebih kecil, seperti Speed 400 dan Scrambler 400.
Secara asasnya, enjin siri TR satu silinder itu masih sama, dengan kapasiti 398 cc dan padanan transmisi enam kelajuan, tetapi sedikit pelarasan dibuat untuk meningkatkan kuasanya menjadi 42 PS (berbanding 40 PS pada Speed dan Scrambler 400) pada 9,000 rpm, sementara tork masih kekal 37.5 Nm pada 6,500 rpm.
Ditambah dengan fairing separuh sebagai perumah lampu, Thruxton 400 ini mencatat berat 183 kg, menjadikannya empat kilogram lebih berat berbanding Speed 400 dan dua kilogram lebih ringan berbanding Scrambler 400. Tangki bahan api masih mempunyai bentuk sama dan berkapasiti 13 liter.
Selain penambahan fairing, Thruxton 400 juga diberikan perkakasan yang bersesuaian dengan penampilannya termasuk cermin sisi di bahagian hujung pemegang serta penutup tempat duduk belakang yang dicat warna sama dengan panel badan lain. Kedudukan menunggang juga dijadikan lebih agresif dengan penggunaan pemegang jenis clip-on serta peletak kaki yang lebih ke belakang.
Bahagian lain kebanyakannya adalah sama dengan Speed 400, termasuk suspensi, yang terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan, monoshock di belakang, brek cakera tunggal 300 mm dengan angkup Bybre empat piston di hadapan, cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang serta rim aluminium 17 inci.
Thruxton 400 menggunakan sistem pendikit ride-by-wire dan datang dengan sistem elektronik lain termasuk ABS dual-channel serta kawalan cengkaman yang boleh ditutup. Paparan meter menggunakan unit gabungan analog dan LCD.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
This Article First Appeared At paultan.org