Kerajaan ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa kaedah yang dianggap berkesan bagi melaksanakan pendekatan subsidi bersasar, termasuk satu daripadanya adalah dengan menggunakan aplikasi MySejahtera, lapor Utusan Malaysia.
Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim dalam sebuah panel yang ditubuhkan di bawah kementerian berkenaan, yang ketika ini sedang menjalankan kajian terhadap beberapa kaedah pelaksanaan untuk memastikan mereka yang seharusnya layak menerima subsidi kerajaan tidak ketinggalan.
“Kaedah untuk melaksanakan subsidi bersasar ini sedang diperincikan, termasuk melalui penggunaan aplikasi seperti MySejahtera dan sebagainya. Saya setuju dengan masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi kita, sebab itu Kerajaan Perpaduan mempunyai iltizam politik bukan sahaja dari segi perancangan semata-mata, tetapi telah pun melaksanakan langkah pertama.
“Bukan mudah untuk sesebuah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar kerana mereka yang tidak dapat akan marah, walaupun dia orang asing sekali pun tetap, (juga) akan merungut. Namun, kerajaan telah menunjukkan iltizam pertama, iaitu pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya dalam persidangan di Dewan Negara, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah menyatakan, terdapat masalah utama yang dihadapi oleh negara dalam hal ini, iaitu berlakunya ketirisan subsidi yang “hilang” kerana dimanfaatkan oleh warga asing.
Arman Azha mencadangkan kepada kerajaan supaya menggunakan aplikasi MySejahtera untuk dijadikan sebagai kaedah pengagihan subsidi kepada rakyat yang layak, memandangkan sekitar 90 peratus masyarakat di Malaysia sudah menggunakan aplikasi tersebut sebelum ini.
Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, dengan sokongan semua pihak kerajaan akan mengemaskini segala kaeadah untuk memastikan sumber kewangan negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia sepenuhnya, terutama oleh golongan yang memerlukan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.
This Article First Appeared At paultan.org