Satu lagi model edisi terhad daripada Harley-Davidson, iaitu Hydra Glide Revival 2024 tiba di Malaysia, dengan dijual pada harga RM176,900 tidak termasuk insurans. Model ini cuma dikeluarkan sebanyak 1,750 unit dan Malaysia setakat ini menerima lima unit untuk jualan.
Seperti yang boleh dilihat melalui penampilannya, model ini membawa kembali konsep rekaan seperti Hydra Glide tahun 50-an, termasuk penggunaan pemegang serta penghadang angin yang tinggi, fender hadapan dan belakang labuh serta susun atur beberapa lampu bulat di hadapan.
Warna merah yang digunakan pada model ini dipanggil sebagai Redline Red, dan ia diserikan dengan kemasan krom serta jalur putih Birch White. Lencana yang terdapat pada bahagian tepi tangki motosikal ini juga menggunakan bentuk yang sama seperti model tahun 50-an.
Model ini juga datang secara standard dengan tetapan tempat duduk tunggal dan beg tepi yang dibalut kulit. Bagi menjelaskan lagi ini adalah model keluaran terhad, terdapat plat nombor keluaran di bahagian pemegang serta pelekat Icons Collection Limited Edition di bahagian fender belakang.
Hydra Glide Revival 2024 dipacu oleh enjin v-twin Milwaukee Eight 114 (kapasiti 1,868 cc) bersama padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 94 hp pada 5,020 rpm dan tork 156 Nm. Kuasa ini dihantar kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.
Memegang rim 16 inci motosikal ini adalah fork teleskopik 49 mm di hadapan, dan monoshock 43 mm dengan pelarasan pra beban di belakang. Tugas membrek dilaksana oleh cakera dengan angkup empat piston tunggal di hadapan dan dua piston di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 332 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 18.9 liter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
This Article First Appeared At paultan.org