Pada 30 September lalu, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter. Harga ini kekal sepanjang bulan Oktober 2025, dan terpakai untuk mereka yang tidak layak menerima manfaat yang diberikan melalui subsidi bersasar RON 95.
Walau bagaimana pun, harga RON 95 tanpa subsidi mula diapungkan apabila lewat petang ini MOF mengumumkan bahawa harga runcitnya dinaikkan sebanyak lima sen seliter, menjadikannya RM2.65 seliter untuk tempoh antara 13 hingga 19 November 2025.
Namun untuk rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memiliki lesen memandu yang sah, harga RON95 bersubsidi masih lagi pada paras RM1.99 seliter. Ini bermakna kini penerima Budi95 mendapat subsidi sebanyak 66 sen bagi setiap liter petrol yang digunakan.
Seebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga tanpa subsidi akan ditetapkan selama sebulan (iaitu bulan Oktober) bagi membolehkan orang ramai menyesuaikan diri dengan mekanisme pelaksanaan Budi95 sebelum harga diapungkan mengikut harga pasaran global.
“Kami akan mengekalkan harga RM2.60 ini selama sebulan untuk memberi peluang kepada semua pihak menyesuaikan diri dengan harga tersebut. Selepas itu, sama seperti diesel, harga akan disemak setiap minggu di bawah mekanisme penetapan harga automatik yang mengikut harga pasaran global, memandangkan kita juga perlu mendapatkan bekalan dari pasaran antarabangsa,” katanya ketika itu.
Beliau turut menambah bahawa harga bahan api akan bergerak seiring dengan pasaran, iaitu meningkat apabila harga global naik dan menurun apabila harga global turun — sama seperti mekanisme yang digunakan bagi diesel. Merujuk kepada pemansuhan subsidi pukal diesel tahun lalu, beliau berkata harga runcit ketika itu ialah RM3.35 seliter, namun sejak itu telah menurun sejajar dengan harga minyak global. Harga semasa bagi minggu akan datang ialah RM3.07 seliter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
This Article First Appeared At paultan.org
