Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama MyDigital ID melancarkan Kempen Diskaun Saman Kebangsaan dengan tawaran pengurangan saman trafik PDRM sebanyak 50%.
Kempen ini berlangsung mulai hari ini, 31 Ogos sehingga 16 September 2025. Ia hanya sah untuk pembayaran melalui aplikasi MyBayar PDRM menggunakan log masuk MyDigital ID, sekaligus memastikan kemudahan ini khusus kepada rakyat Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, “Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kerajaan mengambil pendekatan untuk bukan sahaja meraikan pencapaian negara, tetapi juga memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Tawaran pengurangan saman ini adalah simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia, di samping menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas kepada transformasi digital perkhidmatan awam. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini, serta bersama-sama menyokong usaha kerajaan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan moden.”
Tambahnya, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perkhidmatan digital negara, di samping memberi penghargaan kepada rakyat dengan peluang menyelesaikan saman trafik secara lebih mudah, cepat dan selamat. MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti digital yang sah dan dilindungi, memastikan akses yang lebih terjamin, sekali gus mengurangkan risiko penipuan identiti serta penyalahgunaan maklumat peribadi rakyat.
Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.
Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman emalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
This Article First Appeared At paultan.org